Khamis, 16 Jun 2016

GANJARAN BERPUASA

Ganjaran Berpuasa

Alhamdulillah, diberikan kesempatan untuk bersama lagi menyambut Ramadhan, bulan yang mulia ini. Semoga Ramadhan kali ini, kita semua mendapat ganjaran dan keberkatan dariNya.

Betapa besarnya ganjaran untuk orang-orang yang berpuasa. 

Baginda SAW memberikan khabar gembira untuk mereka yang berpuasa. Berbahagialah wahai  orang yang berpuasa dengan perkhabaran ini:

1.  Perisai api neraka

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW menganjurkan supaya banyakkan berpuasa kepada mereka yang berkeinginan untuk melangsungkan perkahwinan, tetapi belum mampu.

Pesan Baginda SAW: "Wahai pemuda! Sesiapa di antara kamu yang berkemampuan untuk kahwin, maka berkahwinlah. Sesungguhnya ia lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara kemaluan.

Sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya." (Riwayatkan Bukhari & Muslim)

Oleh itu, dengan berpuasa, seseorang akan dapat mengelakkan dirinya daripada terjerumus ke kancah maksiat dan perzinaan yang diharamkan.

Ibadat puasa adalah latihan rohani bagi mengekang pengaruh syaitan dan nafsu syahwat yang sering mengajak ke arah dosa dan maksiat.

Puasa adalah latihan untuk kita berkata "tidak!" kepada perkara yang dilarang oleh syariat. Asalnya, makan dan minum adalah perbuatan yang diharuskan. Namun, ketika berpuasa, makan dan minum menjadi haram di siang hari.

Kita menahan diri daripada makan dan minum bukan kerana tiada makanan, tetapi kerana mematuhi perintah Tuhan.

Jadi, puasa mendidik kita untuk mampu mengawal diri (self control). Orang yang gagal mengawal dirinya untuk tunduk dan patuh kepada perintah syariat, maka hawa nafsunya akan mengambil tempat.

Sarjana Islam, Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mengulas hadis ini dalam karyanya Fath al-Bari berkata: "Pada prinsipnya, apa yang dituntut daripada amalan puasa itu adalah memecahkan syahwat."

Dalam hadis yang lain pula dinyatakan puasa ini menjadi perisai dan penghalang kepada api neraka. Abu Said Al-Khudri melaporkan Rasulullah SAW mengatakan:

"Tidaklah seseorang hamba yang berpuasa satu hari demi mengharapkan keredaan ALLAH, kecuali ALLAH akan menjauhkannya dengan puasa itu daripada api neraka sejarak tujuh puluh tahun perjalanan." (Riwayatkan Bukhari & Muslim)

2. Tiket syurga

Apabila ibadah puasa ini dapat menjauhkan kita daripada api neraka, maka ia akan mendekat pula kita dengan syurga. Abu Umamah melaporkan, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku satu amalan yang aku dapat masuk syurga dengannya." Rasulullah SAW menjawab: "Hendaklah kamu berpuasa, tiada lagi yang seumpamanya." (Direkodkan oleh Al-Nasaie, Ibn Hibban & Al-Hakim, sanadnya sahih)

3. Ganjaran infiniti

Ganjaran pahala bagi orang berpuasa yang tiada hadnya.

4. Dua kegembiraan

Orang yang berpuasa akan berasai dua jenis kegembiraan.

5. Lebih wangi daripada kasturi

Bau daripada mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi ALLAH daripada bau kasturi.

Ketiga-tiga kelebihan ini dinyatakan Rasulullah SAW dalam satu hadis qudsi: Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah SAW berkata: "ALLAH berkata: Setiap amalan anak Adam itu baginya (ganjaran pahala yang ada hadnya), kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya, dan puasa itu perisai.

Apabila seseorang itu berpuasa, maka janganlah ia mengeluarkan kata-kata lucah dan tidak juga bercakap kasar. Sekiranya ada orang lain yang mengejinya atau ingin berkelahi dengannya, maka katakanlah: "Sesungguhnya aku berpuasa."

Demi Tuhan yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi ALLAH daripada haruman kasturi.

Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan: "Ketika dia berbuka, satu kegembiraan baginya. Tatkala dia bertemu dengan Tuhannya, dia akan gembira dengan ibadah puasanya." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dalam hadis qudsi ini, ALLAH menyatakan puasa mempunyai ganjaran yang berganda banyaknya berbanding amalan lain. Sekiranya amalan lain dijanjikan ganjaran sehingga tujuh ratus pahala dan lebih, tetapi bagi puasa, hanya ALLAH sahaja yang mengetahuinya.

Tidak dinyatakan kadar pahalanya. ALLAH menambahkan pahala mengikut kehendak-Nya sehingga tidak dapat dihitung oleh manusia.

Bagi orang yang berpuasa, dapat menikmati dan mengacapi dua kegembiraan iaitu kegembiraan dunia dan kegembiraan akhirat. Bayangkan setelah sehari suntuk kita menahan diri daripada lapar dan dahaga, lalu tiba saat terbenamnya matahari, kita dapat menikmati juadah.

Inilah kegembiraan di dunia. Manakala kegembiraan yang lebih besar dan utama adalah ketika kita bertemu dengan Tuhan Yang Maha Pengasih di akhirat kelak.

Detik itu, kita akan dapat melihat dan mengacapi segala ganjaran besar yang telah disediakan sebagai balasan kepada ketaatan yang telah ditunjukkan.

Bau mulut orang yang berpuasa juga lebih wangi di sisi ALLAH daripada bau kasturi pada hari akhirat. Ia menjadi tanda bahawa seseorang itu termasuk dalam golongan mereka yang berpuasa semasa di dunia dan dia berhak untuk mendapat segala balasan yang telah dijanjikan.

6. Pintu Al-Rayyan

Al-Rayyan ialah satu daripada pintu syurga. Ia disediakan khusus untuk mereka yang berpuasa.

Sahl bin Said melaporkan, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya dalam syurga itu ada satu pintu yang dinamakan Al-Rayyan, orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat, tidak akan masuk seorang pun selain daripada mereka (yang berpuasa).

Apabila telah masuk orang yang berpuasa, pintu ini akan ditutup, maka tidak dapat masuk seorang pun yang lain melalui pintu ini." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Marilah bersama-sama kita pertingkatkan mutu dan kualiti ibadah puasa pada tahun ini.

Mudah-mudahan objektif ketakwaan daripada ibadah puasa benar-benar  dapat dicapai dan dihayati. Ramadan datang membawa janji ini.

Selamat berpuasa :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan